Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, sekali lagi mengorbankan detik penting bersama keluarga apabila bersiap-sedia menghadapi aksi persahabatan kedua di Argentina ketika isterinya melahirkan anak ketiga mereka.

Kumar sanggup meninggalkan isterinya di tanah air demi tugas bersama The Malaysian Hockey Tigers.

Isterinya selamat melahirkan anak ketiga, seorang bayi lelaki ketika Kumar di Buenos Aires untuk enam aksi persahabatan menentang Argentina sebagai persiapan mereka menghadapi Sukan Asia, Ogos nanti.

Di sebalik perkhabaran itu, Kumar menegaskan dia tetap komited untuk terus menjalankan tugas buat skuad negara di Argentina.

"Saya rasa gementar sedikit sebab berada jauh dari keluarga. Saya terpaksa datang ke sini sebab sudah lama saya tidak bermain di peringkat antarabangsa.

"Lagipun, isteri saya yang beri kekuatan. Dia cakap, dia boleh uruskan semuanya. Dia suruh saya pergi untuk dapatkan semula sentuhan. Dia cakap sebelum ini, dia ada cukup kekuatan ketika melahirkan," katanya.

Kumar sudah kerap terlepas saat penting bersama keluarga.

Bapanya meninggal dunia ketika dia menyertai Sukan Komanwel 2010 sementara anak keduanya meninggal dunia ketika dia mencabar separuh akhir Liga Dunia di Belgium 2015.