Peminat sukan hoki negara hari ini menerima khabar gembira apabila penjaga gol hoki negara, S. Kumar, sudah boleh kembali beraksi selepas selesai menjalani hukuman susulan gagal ujian doping Oktober lalu.

Kumar gagal ujian doping ketika saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu apabila sampel air kencingnya didapati mengandungi sibutramine, salah satu bahan larangan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terbaru, Kumar kini telah bebas daripada sebarang hukuman dan bakal diturunkan untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September nanti.

"Minggu lalu, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) telah memberikan maklum balas dengan menyatakan Kumar telah bebas daripada sebarang hukuman dan kini sudah boleh beraksi bersama skuad kebangsaan," kata Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

"Saya sangat gembira dengan perkara ini dan dapat kembali beraksi untuk skuad kebangsaan. Positif doping ini berlaku di luar pengetahuan saya dan FIH telah melakukan keputusan yang adil dalam isu ini," kata Kumar.

Penjaga gol berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu merupakan antara tonggak senior yang pernah dinobat selaku Pemain Terbaik Asia 2010, iaitu gelaran pertama buat pemain hoki Malaysia.