Kapten Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Sukri Mutalib, menganggap kejayaan menumbangkan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 untuk menjuarai Liga Hoki Malaysia 2017 (LHM) semalam membuktikan gergasi hoki negara sudah bangkit semula.

Kejayaan KLHC dilihat sebagai detik paling sensasi dalam LHM musim ini kerana berjaya menyekat THT daripada meraih kejuaraan liga buat kali keempat.

KLHC kerap berada di belakang THT dalam perebutan Piala Liga dan Piala TNB, namun untuk musim 2017, badi itu sudah terpadam.

“Selepas usaha pasukan sejak beberapa musim ini, kami sangat bersyukur di atas kejayaan ini. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain kerana menghasilkan kemenangan yang amat berharga ini,” kata Sukri.

Penyerang import, Anton Ebeling, muncul wira apabila meledak gol kemenangan, dua saat sebelum siren penamat dibunyikan.

Lebih manis, kejayaan ini hadir selepas mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan khidmat Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor selain kecederaan yang menimpa penyerang, Mohd Haziq Shamsul.

“Saya sangat gembira kerana dapat membantu KLHC, kami akan meneruskan momentum ini untuk menjuarai Piala TNB,” jelas Razie.

“Kami telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk menjuarai liga buat kali keempat tetapi kami telah terlepas peluang tersebut. Pemain-pemain agak terkilan dengan kekalahan ini,” ujar penyerang THT, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.