KHM yakin Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dunia

Oleh Bernama 10 November 2018 1562
KHM yakin Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dunia
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yakin Malaysia mampu menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata Kejohanan Hoki Dunia yang bakal berlangsung dari 28 November hingga 16 Disember ini, akan memberi ruang kepada pasukan hoki negara meraih kedudukan lebih baik berbanding tempat ke-12 dunia ketika ini.

“Walaupun kita dalam kumpulan maut bersama Jerman, Belanda dan Pakistan, saya yakin pemain kita akan memberi tentangan sengit bagi meraih mata penting bukan sahaja untuk perlawanan tersebut tetapi bagi mencapai sasaran 10 pasukan terbaik dunia.

“Kita yakin untuk menghadapi sebarang cabaran mendatang kerana persediaan dilakukan sebaik mungkin walaupun menentang ketiga-ketiga negara yang pernah menjulang trofi kejuaraan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Hoki Peringkat Kelantan di Sekokah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat, hari ini.

Hadir sama Pengarah Teknikal KHM, Terry Walsh, dan Presiden Persatuan Hoki Kelantan, Mohamad Azam Ismail.

Mengulas lanjut, Subahan berkata pihaknya juga yakin Malaysia mampu berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik dunia selepas pusingan kelayakan Olimpik yang dijadual bermula tahun depan.

“Kita tidak mahu memberi tekanan kepada pemain dan jika pasukan berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia, ia sudah dianggap sebagai satu pencapaian terbaik,” katanya.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen