Walaupun tidak lagi menyambung kontraknya yang akan tamat bulan depan, namun Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh, dan KHM akan terus menjalin kerjasama secara tidak langsung dalam membantu sukan hoki negara, terutama daripada segi pembangunan.

Perkara itu dinyatakan dalam satu sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dilantik sebagai pengarah teknikal pada 2015, khidmat Walsh bersama KHM secara rasminya akan berakhir pada 31 Mac ini.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, bagaimanapun, menjelaskan peranan pengendali dari Australia itu masih ditagih oleh KHM yang bakal menghadapi kelayakan Sukan Olimpik bermula 26 April depan.

Subahan berkata, “Setelah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam, saya rasa kami masih memerlukan beliau, khususnya dalam pembangunan hoki dan khidmat nasihatnya kepada KHM sendiri.

“Walsh membuat keputusan untuk pulang ke Perth. Tetapi kami akan terus mengekalkan hubungan, lagipun kelayakan Olimpik akan bermula pada April nanti.

"Roelant (Oltmans) dan Walsh juga telah bekerjasama sebelum ini, begitu juga dengan Stephen (Van Huizen). Sekiranya Malaysia ke Olimpik, sudah tentulah ia kegembiraan buat semua kerana kami bekerjasama sebagai satu pasukan sudah sekian lama,” kata Subahan.

“Walaupun selepas bulan Mac beliau bukan lagi pengarah teknikal, namun bulan ini banyak lagi perkara akan dilakukan Walsh seperti membentangkan kertas kerja pembangunan kepada pihak kementerian, membantu kejohanan yang akan diadakan di negara ini dan juga kelayakan Olimpik pada bulan April.

“Selepas itu pun, kami juga mungkin akan menjalin kerjasama secara sambilan dengan Walsh dari Perth ke Malaysia. Ia sudah dimaklumkan kepada Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN) dan mendapat respons positif,” tambah Subahan.

Dalam pada itu, Walsh berkata beliau teruja kembali ke Malaysia dan berkhidmat sebagai pengarah teknikal setelah pernah mengendalikan pasukan kebangsaan pada tahun 1990-1993.

“Ini adalah keputusan saya setelah lebih tiga tahun berkhidmat sebagai pengarah teknikal KHM," kata Walsh.

"Sepanjang berada di sini, saya sangat selesa bekerjasama dengan individu-individu hebat di sini dan beberapa perubahan positif dalam permainan juga dapat dilihat. Saya percaya potensi besar yang dimiliki oleh pasukan negara dan boleh menjadi antara kuasa besar hoki dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan atas sokongan yang berterusan serta semua staf KHM yang begitu positif sepanjang tiga tahun perkhidmatan saya,” katanya.

“Sudah tentu, dalam dunia sukan, peningkatan sesebuah pasukan seiring dengan barisan kejurulatihan yang memimpin mereka, menasihati dan berusaha menjadikan mereka pemain yang lebih baik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemain atas komitmen mereka dan juga kakitangan kejurulatihan yang berdedikasi yang terlibat dalam semua program KHM. Saya juga memuji Stephen, ketua jurulatih pasukan lelaki yang terdahulu, atas peranan penting dan cemerlangnya dalam peningkatan pasukan,” tambah Walsh.

Beliau turut yakin dengan kredibiliti yang dimiliki pasukan kebangsaan dengan berkata, “Saya berkeyakinan bahawa selepas 20 tahun menanti, pasukan hoki lelaki negara akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depandan berharap ia akan menjadi pemangkin buat generasi akan datang untuk turut serta dalam sukan ini. Malaysia perlu terus menjadi kuat di peringkat Asia,” katanya.