Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan senarai nama pemain lelaki dan wanita skuad bawah 18 tahun yang akan menyahut cabaran dalam kelayakan Sukan Olimpik Remaja Bawah 18 tahun zon Asia di Bangkok, Thailand, dari 25 hingga 29 April ini.

Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B bagi kategori lelaki, akan dicabar oleh Pakistan, Bangladesh, Singapura, Taiwan dan Kemboja sementara bagi kategori wanita, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

Menggunakan format lima sebelah termasuk penjaga gol, dua pasukan terbaik akan layak secara automatik untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja B-18 di Buenos Aires, Argentina, dari 6-18 Oktober depan.

Jurulatih skuad wanita, Yahya Atan, berkata China dan Jepun bakal menjadi pencabar terkuat skuad negara, namun tetap mempercayai keupayaan anak buahnya untuk memberikan saingan terbaik dalam kejohanan kali ini.

“Setiap pasukan semestinya meletakkan harapan untuk layak ke Sukan Olimpik Remaja B-18 dan sekiranya rezeki memihak kepada skuad negara untuk muncul dua pasukan terbaik, ini merupakan kali pertama Malaysia akan layak beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja.

“Bagaimanapun, persaingan tinggi bagi kategori wanita kerana kami berada dalam kumpulan yang sama dengan China dan Jepun, di mana edisi lalu China dan Jepun layak beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja, namun kami tetap akan cuba untuk memberikan saingan terbaik bagi kejohanan kali ini,” jelas pengendali berusia 63 tahun itu.

Dalam pada itu, jurulatih skuad lelaki, Wallace Tan, turut memberikan pandangan yang sama bahawa persaingan sengit akan diterima oleh anak buahnya, namun mereka akan tetap berusaha untuk memberikan aksi terbaik.

“Kejohanan ini sememangnya baik untuk pemain mendapat pendedahan kerana persaingan yang sengit pastinya akan diterima oleh mereka.

“Pakistan dan Bangladesh merupakan dua pasukan yang telah layak beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja 2014, berada satu kumpulan dengan kami dan kami akan menyahut cabaran yang akan diberikan oleh mereka serta akan cuba untuk melakukan sehabis baik,” ujar Wallace.

Senarai pemain

Skuad Lelaki:

1. Muhammad Hamiz Mohd Ahir (GK)
2. Muhammad Arif Syafie Ishak
3. Mohamad Akhimullah Anuar Esook
4. Muhammad Amirul Hamizan Azhar
5. Muhammad Muhibuddin Moharam
6. Muhammad Noor Firdauz Rosdi
7. Syarman Mat Tee
8. Muhammad Kamaruzaman Kamarudin
9. Alfarico Lance Liau JR

Skuad Wanita:

1. Siti Zalia Nasir (GK)
2. Nur Atira Mohamad Ismail
3. Nurmaizatul Hanim Syafi
4. Siti Nur Arfah Mohd Nor
5. Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun
6. Siti Zulaika Hussin
7. Nur Fatin Fatiah Azman
8. Putri Nur Batrisyia Nornawawi
9. Elizaberth Epui Anak Martin