Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), George Koshy, yakin sekurang-kurangnya lapan pasukan akan menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan di sebalik kebimbangan pasukan gergasi akan menarik diri.

Pandangan positif itu disuarakan berikutan juara Divisyen 1 LHM 2018, UiTM-KPT, dan naib juara, Politeknik-KPT, dinaik taraf menyertai Liga Perdana.

Situasi itu mengurangkan kebimbangan kekurangan pasukan dalam saingan Liga Perdana selepas kelab gergasi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), mengancam untuk menarik diri.

Taklimat pasukan LHM 2019 di Bukit Jalil hari ini mencatat kehadiran enam wakil pasukan kecuali KLHC dan Terengganu Hockey Team (THT).

"Ya, kami mempunyai enam pasukan tahun lalu dan dengan kehadiran dua pasukan menjadikan ia semuanya lapan pasukan kali ini, mengambil kira tiada pasukan menarik diri," kata Koshy.

"Kebiasaannya kami mempunyai pemain yang sama. Apa yang berbezanya kali ini, kami tidak boleh mengambil pemain import dari sembilan negara yang akan mengambil bahagian dalam Liga Hoki Profesional Dunia yang berlangsung dari Januari hingga Jun.

"Jadi, kami perlu mengambil pemain yang tidak beraksi dalam kejohanan itu," kata jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj.

"Sekiranya ada penambahan (pasukan), ia satu perkara yang bagus kerana persaingan lebih sengit," kata wakil daripada pasukan TNB, Muhammad Azami Adabi.

Saingan LHM 2018 menyaksikan THT muncul juara liga sementara UniKL menjulang Piala TNB.