Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, meminta 12 pemain skuad wanita negara yang sedang beraksi di Eropah agar bersiap-sedia untuk dibawa pulang jika skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu mendapat slot playoff dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi menggantikan Afrika Selatan.

KHM sedang memantau perkembangan skuad hoki wanita Afrika Selatan, yang mungkin menarik diri daripada Sukan Olimpik kerana tidak menepati piawaian majlis Olimpik negara itu.

Pasukan itu layak menerusi Kejohanan Hoki Afrika Road to Tokyo 2020, yang berakhir Ahad lalu.

Keputusan itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi dan jika ia berpihak kepada Malaysia, semua pemain negara di Eropah akan dibawa pulang.

"Minggu depan saya akan berjumpa dengan Dhaarma.

"Kami akan berbincang dengan Datuk Shamala (Timbalan Presiden KHM, Datuk Profesor S. Shamala) dan kalau sekiranya perlu dipanggil balik, mereka kena balik.

"Sebelum kami melepaskan mereka, kami sudah menetapkan bahawa jika terdapat panggilan kebangsaan, tak kira, mereka kena balik.

"Tugasan kebangsaan merupakan keutamaan," katanya.

Untuk rekod, skuad wanita negara tidak pernah layak menyertai Sukan Olimpik.

Skuad lelaki pula sudah mengesahkan tempat ke pusingan playoff, November depan.

Terdahulu, Subahan menghadiri Klinik Hoki Pembangunan KHM di Bukit Jalil sebagai persiapan untuk menggerakkan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), yang akan dilancarkan Oktober depan.

Antara yang dikaitkan untuk menjadi pengarah teknikal NHDP ialah bekas ketua jurulatih skuad senior negara, Tai Beng Hai.

"Dalam satu progam yang besar, kami perlu pastikan ada seseorang yang boleh menggerakkannya dengan hala tuju yang betul dan pemantauan rapi.

"Terpulang kepada orang atasan untuk membuat keputusan," kata Beng Hai ketika mengendalikan program yang disertai 40 pelajar itu, hari ini.

Ada antara peserta itu yang pernah menyertai Program 1MAS dan bakal diserapkan dalam NHDP peringkat negeri.

"Saya minat dengan Razie Rahim sebab saya sukakan 'drag flick' yang dilakukannya," kata seorang peserta, Adam Harris Asmawi.

Seorang lagi peserta, Mohd Erwan Shaqil, pula mengagumi pemain kebangsaan, Fitri Saari, dengan berkata: "Dia merupakan idola saya dalam hoki kerana bijak mengawal permainan."