Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, membantah keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membatalkan penggunaan sistem 'video refferal' (rujukan ulang tayang video) untuk Final Siri Hoki Dunia selaku kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tindakan FIH tidak masuk akal kerana sistem video itu digunakan secara meluas, termasuk dalam Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterima oleh KHM, sistem rujukan video itu tidak boleh digunakan kerana beberapa negara penganjur siri dunia berkenaan tidak dapat menyediakan sistem yang sama.

Ia mengundang rasa tidak puas hati KHM kerana sistem rujukan video itu penting dalam menentukan keputusan perlawanan.

"Kami memerlukan sistem ini untuk saingan hoki, bukan hanya Malaysia. tetapi setiap pasukan yang beraksi kerana ia sangat penting untuk menentukan keputusan perlawanan," kata Subahan.

"Terdapat beberapa negara yang menganjurkan saingan ini tidak mampu untuk menyediakan sistem referral, jadi FIH mengambil keputusan untuk tidak menggunakannya," kata Pengurus Pertandingan KHM, Brian Fernandez.

Selain Kuala Lumpur, saingan lelaki akan turut diadakan di India dan Perancis sementara wanita di Ireland, Jepun dan Sepanyol.

Sementara itu, KHM berpuas hati dengan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil selepas proses menaik taraf menjelang Siri Dunia Hoki Final, 26 April ini.

Dua pasukan terbaik akan dapat tiket automatik ke kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, November depan.

Sementara itu, jurulatih dan pemain bersependapat dengan pendirian KHM yang kecewa dengan pembatalan sistem rujukan video itu kerana ia mampu menjejaskan peluang pasukan Malaysia.

"Kami akan mengikut apa yang ditetapkan FIH. Ketiadaan sistem ini mampu memberikan kesan kepada pasukan," kata jurulatih penjaga gol hoki negara, Nasihin Nubli.

"Sistem ini banyak membantu dan ia akan memberikan satu halangan yang besar buat skuad negara dalam saingan Siri Dunia ini nanti," kata kapten negara, Meor Muhammad Azuan Hassan.

"Sistem video ini banyak membantu Malaysia dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah sebelum ini tetapi kami akan berusaha mencari jalan yang terbaik bagi memastikan kemaraan Malaysia," kata pertahanan negara, Faiz Helmi Jali.