Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kini di peringkat akhir untuk mewujudkan program pembangunan baru bagi menggantikan program 1Mas, dengan Timbalan Presiden Kanan, Profesor Datuk S. Shamala, berkata pengumuman bulan depan akan mirip Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

1Mas bermula pada 2010 dan akan ditamatkan selepas kehabisan dana. Bagaimanapun, KHM mempunyai pelan untuk mewujudkan program baru yang kini dalam fasa akhir sebelum pengumuman dibuat bulan depan.

"Maklum balas daripada persatuan negeri sangat penting.

"Apabila kita mahu mengadakan program di peringkat negeri, kita mahukan penglibatan persatuan dan pendidikan negeri demi kelancaran program ini.

"Program ini akan bermula bulan depan dengan nama baru," ujar Shamala.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan KHM, Tai Beng Hai, pula berkata: "Perkara paling penting adalah pengetahuan jurulatih dan pemain.

"KHM memiliki laman sesawang berbentuk video yang memaparkan corak latihan, skil dan teknik permainan."

Program pembangunan baru KHM dijangka menelan kos sebanyak RM1.5 hingga RM2 juta setahun.

Objektif utamanya ialah melahirkan pemain untuk diserap dalam skuad bawah 16 tahun atau mewakili sekolah sukan Malaysia.