Naib Presiden Kanan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Profesor S. Shamala, menegaskan pihaknya sedang meneliti situasi keselamatan di London, England, dan tidak akan teragak-agak untuk membatalkan penyertaan pasukan kebangsaan jika separuh akhir Liga Dunia dipalit insiden keganasan.

KHM sudah pun menyuarakan kebimbangan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengenai soal keselamatan di London.

Ia susulan insiden pengeboman yang berlaku ketika konsert penyanyi, Ariana Grande di Manchester, dua minggu lalu, sebelum insiden tiga lelaki menikam beberapa orang awam di London Bridge, semalam.

Kedua-dua insiden itu mengakibatkan berpuluh orang awam terkorban.

The Malaysian Hockey Tigers dijadualkan tiba di London, Khamis ini untuk menempuh tiga aksi persahabatan sebelum memulakan kempen menentang Argentina, 16 Jun ini.

"Semestinya kita akan memberikan sokongan sepenuhnya tetapi keutamaan kami adalah keselamatan pemain.

"Kami akan mengambil langkah yang perlu sepertimana dilaksanakan negara lain yang akan mengambil bahagian. Kami akan sentiasa memantau perkara ini," jelas Shamala.

Selain Malaysia, beberapa negara lain turut menyuarakan kebimbangan sama, namun setakat ini belum ada yang menarik diri.

Malaysia diundi bersama Argentina, England, Korea Selatan dan China dalam Kumpulan A dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir untuk layak ke Piala Dunia 2018.

"Kami telah menghantar e-mel bagi mendapatkan pengesahan daripada negara penganjur, jadi saya yakin kami akan mendapat maklumat terperinci bagi memudahkan skuad negara di sana," tambah Shamala.