Kelayakan Piala Dunia tumpuan utama Farah

Oleh Staff Writer 17 September 2019 22
Kelayakan Piala Dunia tumpuan utama Farah
Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya, mahu melupakan kekecewaan lalu demi fokus kepada persediaan pusingan kelayakan Piala Dunia tahun depan. 

Skuad hoki wanita negara menghadapi laluan sukar bagi kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo selepas tewas di tangan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir pusingan akhir Siri FIH di Ireland, Jun lalu. 

Buat masa ini, peluang masih terbuka buat mereka dengan harapan berlakunya perubahan kedudukan ranking dunia. 

Pemain kelahiran Johor itu, bagaimanapun, mahu memanfaatkan peluang berkelana ke England menyertai pasukan East Grinstead HC bulan ini untuk memperbaiki prestasi menjelang kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia tahun depan. 

"Bermain dengan kelab di luar negara merupakan peluang untuk memperbaiki corak permainan serta meraih pengalaman baru," katanya.

Sementara itu, pemain hoki negara dalam persiapan mewakili pasukan masing-masing bagi saingan Piala Razak bermula bulan ini. 

"Jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menasihatkan supaya bermain dengan cemerlang bagi menjaga nama negara dan pasukan masing-masing."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen