Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad wanita akur tewas kepada India

Oleh Staff Writer 28 April 2018 1975
Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad wanita akur tewas kepada India
Impian skuad wanita bawah 18 negara untuk melangkah ke perlawanan akhir Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Asia (5 Sebelah), sekali gus menempah tiket secara automatik ke Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina tidak kesampaian apabila tewas 4-2 kepada India di Stadium Ratu Sirikit, Bangkok, hari ini.

India terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keenam, namun ia tidak mematahkan semangat skuad negara untuk bangkit mencari gol penyamaan pada minit kesembilan menerusi kapten negara, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun, dan mengikat India 1-1 dalam aksi separuh masa pertama.

Bersambung suku masa kedua, India menambah jaringan pada minit ke-14 selepas mempunyai kelebihan seorang pemain akibat pemain negara dilayangkan kad hijau, dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ishika Chaudhary.

Beberapa saat sebelum suku kedua berakhir, India terus memastikan mereka di hadapan menerusi jaringan Salima Tete.

Pada minit ke-23, India meledak gol keempat mereka menerusi Sangita Kumari dan jaringan tersebut nyata menaikkan semangat pemain negara untuk kembali mengejar pada minit ke-27 apabila Siti Zulaika Hussin menjaringkan gol kedua buat negara.

Malangnya, jaringan itu tidak cukup untuk megejar India dan perlawanan tamat dengan India mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan skuad negara 4-2.

Semangat pemain yang tidak mudah patah atau menyerah kalah sepanjang kejohanan diakui oleh pengendali negara, Yahya Atan, yang mengakui beberapa kekurangan dilihat antara faktor skuad negara gagal ke perlawanan akhir.

“Walaupun kami ketinggalan pada awal, saya puji semangat pemain yang tidak patah walaupun ketinggalan.

"Sikap itu perlu dihargai dan memang matlamat kami untuk mencari kemenangan dan layak ke Sukan Olimpik Remaja tetapi beberapa kekurangan seperti fizikal dan kekuatan India melebihi pasukan negara.

“Jika dilihat pada pasukan Korea Selatan, mereka mempunyai persamaan seperti China, iaitu fizikal dan asas permainan juga bagus tetapi saya yakin pemain akan melakukan sehabis baik dan taktikal yang akan diterapkan esok adalah untuk menyekat Korea dengan sehabis baik,” ujar Yahya.

Skuad wanita negara akan turun dalam aksi terakhir esok, iaitu penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu Korea Selatan pada jam 3 petang waktu Malaysia.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen