Skuad hoki lelaki dan wanita bawah 18 tahun negara menempatkan diri ke perlawanan separuh akhir selepas masing-masing cemerlang mencatat kemenangan dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik Remaja 5's zon Asia di Stadium Ratu Sirikit, Bangkok, hari ini.

Skuad lelaki, yang turun terlebih dahulu untuk bertemu Pakistan, meraih kemenangan keempat berturut-turut selepas membelasah lawan12-1 dan nyata kemenangan yang diraih mereka menyuntik semangat skuad wanita untuk turut cemerlang melangkah ke separuh akhir selepas menidakkan cabaran Jepun 4-3.

Skuad wanita, yang turun bertemu Jepun dengan misi wajib menang, dikejutkan dengan dua jaringan awal lawan, namun jaringan tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk kembali bangkit dengan meledak empat gol untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Kegembiraan untuk muncul selaku naib juara Kumpulan A tidak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata oleh pengendali mereka, Yahya Atan, yang bersyukur di atas kemenangan mereka selain memuji sikap tidak menyerah kalah anak-anak buahnya yang berjuang hingga ke akhir perlawanan.

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan kami hari ini dan pemain-pemain wanita telah menunjukkan semangat tidak mudah menyerah kalah.

"Tiada apa yang mampu untuk saya huraikan mengenai persembahan pemain-pemain saya bertemu Jepun kerana komitmen yang telah diberikan oleh pemain-pemain terlalu tinggi dan mereka menunjukkan semangat mahukan kemenangan untuk negara dan juga keluarga mereka.

“India merupakan lawan yang bagus untuk kami temui dalam separuh akhir. Saya akan merencanakan strategi untuk mengekang mereka daripada bergerak bebas dan melancarkan serangan di bahagian tengah selain pemain perlu memahami strategi serta taktikal permainan esok.

“Sekiranya rezeki berpihak kepada kami, InsyaAllah kami akan melangkah ke final,” jelas Yahya.

Dalam pada itu kapten pasukan lelaki, Muhammad Amirul Hamizan Azhar, berkongsi perasaan gembira apabila Malaysia ke separuh akhir walaupun berbaki satu perlawanan dan berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan atas komitmen mereka selain tidak mahu memandang rendah terhadap lawan petang ini, iaitu Singapura.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana telah memberikan komitmen 100 peratus daripada perlawanan pertama sehingga perlawanan keempat bertemu Pakistan. Mereka juga tidak mudah untuk menyerah kalah dan sentiasa berjuang habis-habisan.

“Saya beharap untuk aksi bertemu Singapura, rakan-rakan tidak akan memandang rendah lawan kami kerana perlawanan terakhir juga penting kerana kekalahan mungkin akan mendatangkan kesukaran buat kami dan saya berharap rakan-rakan akan terus dengan momentum kemenangan yang kami miliki kini,” ujar Amirul.

Skuad lelaki akan turun pada aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Singapura pada jam 5 petang waktu Malaysia dan perlawanan tersebut juga akan menentukan adakah pasukan negara akan muncul sekalu juara kumpulan B atau sebaliknya.