Malaysia menamatkan kempen hoki Kelayakan Sukan Olimpik Remaja Bawah 18 tahun (Asia) 2018 di Stadium Ratu Sirikit, Bangkok Thailand hari ini dengan cemerlang apabila skuad lelaki muncul naib juara sementara skuad wanita di tempat ketiga.

Walaupun skuad lelaki menamatkan saingan di tempat kedua, namun pujian harus diberikan kepada mereka yang cemerlang bangkit daripada ketinggalan 2-4 untuk mengikat India 4-4 dalam lima minit terakhir perlawanan dan berjaya mengheret permainan hingga ke penentuan shoot-out, namun akur tewas 1-2.

Bagi skuad wanita pula, ketika Korea Selatan mengikat pasukan negara 3-3 dan mereka perlu bermain dengan kekurangan seorang pemain akibat Putri Nur Batrisyia Nornawawi yang mengalami kecederaan di kepala selepas terkena bola sewaktu mahu mempertahankan pintu gol negara, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit mencari kemenangan 5-3.

Dua pemain negara, lelaki dan wanita, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Siti Zulaika Hussin diangkat selaku pemain terbaik kejohanan sementara Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak 16 gol.

Bagi Akhimullah, Firdaus dan Zulaikha, mereka tidak menjangka akan membawa pulang anugerah tersebut selain melahirkan rasa syukur kerana berjaya membantu pasukan dan akan menjadikan anugerah itu untuk meningkatkan lagi mutu permainan mereka bersama pasukan.

“Saya bersyukur kerana dapat membantu pasukan dengan menjaringkan 16 gol dan muncul penjaring terbanyak selain kami berjaya muncul naib juara, sekali gus kami akan ke Sukan Olimpik Remaja di Argentina dan ia merupakan detik paling manis untuk saya dalam kejohanan ini,” ujar Akhimullah.

“Saya tidak sangka diangkat selaku pemain terbaik dan anugerah ini pastinya akan memberikan motivasi untuk saya terus berjuang bersama pasukan, membantu pasukan untuk kejohanan yang akan datang dan saya juga berterima kasih kepada pasukan kerana semangat sepasukan kami juga yang membantu saya,” kata Firdaus.

“Saya juga tidak terfikir akan dipilih selaku pemain terbaik kejohanan dan anugerah ini akan saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk terus berbakti kepada pasukan dan negara selain anugerah ini saya kongsikan dengan rakan-rakan sepasukan yang turut bermain mati-matian demi mencari kejayaan,” jelas Zulaikha.

Kejayaan skuad lelaki negara beraksi di pentas final membawa mereka dan India mewakili Asia untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina yang akan berlangsung dari 6 hingga 18 Oktober 2018.