Skuad lelaki bawah 18 tahun negara mencipta sejarah layak ke Sukan Olimpik Remaja 2018 buat kali pertama selepas mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Kelayakan Sukan Olimpik Remaja Bawah 18 tahun (Asia) 2018 dengan memenangi penentuan shoot-out 5-4 ke atas Korea Selatan di Stadium Ratu Sirikit, Bangkok hari ini.

Penjaga gol negara, Muhammad Hamiz Mohd Ahir, muncul wira apabila menyelamatkan pukulan shoot-out terakhir Korea Selatan selain lima gol shoot-out skuad negara disumbangkan oleh Muhammad Amirul Hamizan Azahar menjaringkan tiga gol dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dengan dua gol.

Skuad negara bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan Korea Selatan pada minit kedua menerusi Bae Soung. Jaringan itu tidak bertahan lama apabila Akhimullah bangkit menyamakan kedudukan pada minit keempat.

Corak permainan pantas terus disajikan oleh kedua-dua pasukan apabila Korea Selatan kembali berada di hadapan menerusi Chun Semin pada minit kelima.

Muhammad Noor Firdaus Rosdi kembali mengikat kedudukan menerusi satu jaringan cantik dan tiga minit sebelum suku pertama berakhir, Akhimullah meledak jaringan keduanya untuk meletakkan Malaysia di hadapan.

Bersambung suku kedua, giliran Korea Selatan untuk mengejar skuad negara apabila pada minit ke-12, Lee Seyong menjadikan kedudukan 3-3 dan kedudukan dalam suku kedua kekal walaupun kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari kelebihan gol.

Memasuki suku terakhir, kapten negara, Amirul Azahar kembali meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-22, namun empat minit kemudian, Korea Selatan kembali mengejar menerusi jaringan Jang Pilhyeok untuk kedudukan berubah 4-4 untuk membawa aksi ke penentuan shoot-out.

Pengendali skuad lelaki bawah 18 tahun negara, Wallace Tan, memuji sikap pemain-pemainnya yang tidak menyerah kalah dan berjuang sehingga ke penghujung perlawanan untuk meraih kejayaan yang mereka kecapi hari ini.

Beliau mahu pemain-pemain kembali mengalihkan fokus kepada satu lagi misi penting, iaitu perlawanan akhir dengan India.

“Pemain-pemain telah memberikan segalanya walaupun perlawanan terpaksa di heret ke penentuan shoot-out tetapi mereka masih berjuang sehingga ke shoot-out terakhir. Jadi, ucapan tahniah perlu diberikan kepada pemain yang berjuang berhabis-habisan.

“Kami gembira dengan kejayaan untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja tetapi kami mempunyai satu lagi perlawanan untuk bertemu India esok dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada pertemuan tersebut,” jelasnya.