Nasib berbeza dialami dua skuad hoki bawah 18 tahun negara apabila pasukan wanita tewas 1-9 kepada China sementara pasukan lelaki terus cemerlang meraih kemenangan 10-0 ke atas Taiwan dalam kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Remaja Asia di Stadium Ratu Sirikit, Bangkok, hari ini.

Terdahulu, skuad wanita yang beraksi menentang China memperoleh gol sagu hati pada minit ke-13 menerusi Siti Zulaika Hussain dan kebangkitan yang cuba untuk ditampilkan dinafikan oleh pemain-pemain China.

Jurulatih skuad wanita, Yahya Atan, menerima kekalahan pertama skuad negara di tangan juara Sukan Olimpik Remaja 2014 itu dan mahu anak-anak buahnya bangkit dalam aksi kedua bertemu Taiwan, hari ini.

“Kami menerima hakikat kekalahan ini dan jika dilihat daripada segi fizikal juga, mereka sudah menang. Mereka juga merupakan juara Sukan Olimpik Remaja 2014 yang masih mengekalkan momentum dan daripada segi asas permainan mereka juga baik.

“Semua pasukan akan beraksi dua perlawanan dan tidak timbul isu kepenatan kerana jika mahu beraksi dalam separuh akhir, mereka perlu mencari kemenangan bertemu Taiwan.

"Selain itu, semangat untuk tidak mudah menyerah kalah perlu dipertingkatkan lagi dan kemenangan akan membantu kami untuk bertemu Jepun dalam perlawanan terakhir, selain membuka laluan ke separuh akhir,” ujar Yahya.

Sementara itu, pertemuan di antara skuad lelaki B-18 dan Taiwan menyaksikan skuad negara terus cemerlang mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut apabila menjadikan Taiwan mangsa belasahan kedua dengan jaringan 10-0.

Sepuluh gol negara yang dihasilkan oleh skuad negara masing-masing menerusi dua jaringan Muhammad Amirul Hamizan Azhar, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Muhibuddin Moharam.

Syarman Mat Tee dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi pula masing-masing menyumbang satu gol.

Jurulatih skuad lelaki, Wallace Tan, berasa lega apabila kemenangan kedua yang begitu penting berjaya diraih oleh anak-anak buahnya dan menjangkakan satu perlawanan sengit akan berlangsung bertemu Bangladesh, hari ini.

“Kemenangan kedua sangat penting untuk membantu pasukan kerana kami tidak boleh keciciran sebarang mata dan kini kami boleh menumpukan pula kepada perlawanan bertemu Bangladesh dan teruskan usaha untuk mengutip mata.

“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit bertemu Bangladesh dan apa yang penting, kami perlu menumpukan kepada permainan kami.

"Kami perlu memikirkan cara terbaik untuk mengatasi Bangladesh dan tentunya saya mengharapkan satu lagi kemenangan akan berjaya dicatatkan,” ujar Wallace.