Mehmet Durakovic menyifatkan pemain Perak sebagai istimewa buat dirinya selepas mengatasi kelab Hong Kong, Kitchee SC, 6-5 melalui sepakan penalti untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

"Mereka pemain istimewa kerana memiliki ciri-ciri dan perwatakan mantap semasa dalam padang.

"Saya gembira dengan kejayaan ini kerana satu lagi sejarah dilakar pemain Perak selepas memenangi Piala Malaysia 2018.

"Kami mencatat satu lagi sejarah dalam bola sepak negeri Perak dengan melepasi pusingan awal ACL dan akan bertemu wakil Korea Selatan selepas ini, " katanya dalam sidang media di Stadium Perak, malam tadi.

Dalam perlawanan yang menyajikan aksi menarik dan hebat itu, The Bos Gaurus mempamerkan aksi bertenaga untuk mengatasi lawan.

Begitupun, jurulatih itu mengakui anak buahnya memilih jalan sukar apabila tidak memanfaatkan beberapa peluang menjaringkan gol.

Sebaliknya, Perak yang mendahului selepas 14 minit perlawanan berlangsung melakukan satu kesilapan pada minit ke-85 yang membolehkan Kitchee untuk menyamakan kedudukan dan memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan diheret ke penentuan penalti.

"Kami patut boleh menang dengan jurang tiga gol tetapi apakan daya pemain gagal menyudahkan peluang diperoleh.

"Saya berharap pemain jadikan ini sebagai satu pengajaran dan tidak mengulanginya," katanya.

Apapun, Durakovic sedar tugas berat yang menanti mereka kerana mempunyai jadual padat, termasuk dalam Liga Super.

"Jumaat ini, kami akan turun lagi bertemu Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, kemudian ke Korea Selatan untuk perlawanan ACL Selasa depan.

"Jadual kami memang padat dan pemain saya bukan robot.

"Cuma saya berharap mereka akan pulih selepas kami lakukan sesi pemulihan esok," ujarnya.