Kekuatan mental The Malaysian Hockeys Tigers perlu dipulihkan, kata Rodhanizam 

Oleh Staff Writer 16 September 2018 814
 Kekuatan mental The Malaysian Hockeys Tigers perlu dipulihkan, kata Rodhanizam 
Bekas penyerang hoki negara, Rodhanizam Mat Radzi, bimbang dengan situasi murung tonggak kebangsaan sehingga mendorong enam pemain dan ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, tidak menyertai Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin, brmula Selasa ini.

Kegagalan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 -- gara-gara terlepas pingat emas dalam Sukan Asia 2018 awal bulan ini -- masih gagal dilupakan tonggak hoki negara.

Antara yang direhatkan ialah penyerang, Faizal Saari, pemain tengah, Marhan Abd Jalil, dan penjaga gol, S. Kumar.

Van Huizen pula terpaksa menemani ahli keluarganya yang mengalami masalah kesihatan.

Rodhanizam berpendapat pegawai psikologi di Institut Sukan Negara (ISN) perlu bertindak untuk memastikan mereka kembali bersemangat kerana peluang ke Sukan Olimpik Tokyo masih lagi terbuka.

"Pegawai psikologi ISN perlu memainkan peranan mereka. 

"Atlet kita begitu kecewa sekali dan inilah peranan yang mereka perlu belajar bagi menaikkan semangat atlet dan pemain hoki negara untuk bangkit memberikan yang terbaik," katanya. 

Dalam masa sama, tekanan terhadap Van Huizen pula meningkat.

Ada cadangan menukar pengendali negara itu dengan bekas jurulatih Argentina, Carlos Retegui, atau Bobby Crutchey dari Great Britain.

"Masa begitu singkat untuk menukar jurulatih. 

"Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu berbuat sesuatu, misalnya Pengarah Teknikal, Terry Walsh, perlu memainkan peranan lebih besar kerana inilah masanya untuk kita melihat peranan pengarah teknikal dalam kancah hoki Malaysia," katanya lagi. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen