Keazaman tinggi dan kerjasama sesama pemain menjadi faktor utama kejayaan Perak mempertahankan kejuaraan kategori lelaki dalam Kejohanan Hoki Kebangsaan B-16 di Kuantan yang berakhir kelmarin.

Jurulatihnya, Hairul Nizam Abd Rani, berkata semangat kekitaan dalam kalangan anggota pasukannya menyaksikan pemain saling bantu-membantu sewaktu di dalam padang.

"Syukur Alhamdulillah, semua perancangan dan percaturan saya telah dilaksanakan dengan begitu baik oleh pemain.

"Mereka bermain dengan penuh disiplin sepanjang kejohanan," katanya yang kali pertama memikul tanggungjawab sebagai jurulatih.

Perak menumpaskan Selangor 5-0 dalam final di Stadium Wisma Belia, Kuantan untuk meraih gelaran untuk kali ketiga berturut-turut.

"Tahniah kepada pemain kerana mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu mempertahankan kejuaran.

"Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin dengan pasukan ini kerana tidak mengenali mereka langsung.

"Jelas kebimbangan saya tidak berasas kerana mereka terdiri daripada pemain hebat dari sekolah sukan," katanya.

Nizam juga berterima kasih kepada pengurus pasukan, Khairul Aufa Mohamed Yusof, yang telah membantu pasukan itu.