Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 yang bakal berlangsung di Darwin, Australia, minggu depan menjadi medan terbaik untuk enam pemain skuad lelaki negara menampilkan prestasi terbaik masing-masing.

Enam pemain berkenaan adalah Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Najib Abu Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Haziq Samsul dan Norsyafiq Sumantri yang tidak beraksi dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, baru-baru ini.

Penolong ketua jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Amin Rahim, menegaskan kejohanan yang akan berlangsung selama lima hari bermula 18 September ini di Stadium Hoki Marrara, merupakan medan terbaik untuk enam pemain berkenaan membuktikan kemampuan mereka menggalas tugas beberapa pemain senior.

“Enam pemain senior tidak menyertai pasukan kerana ada yang mengalami kecederaan dan juga direhatkan, jadi ini merupakan peluang buat enam pemain yang menggantikan tempat pemain senior ini untuk menyerlah,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Amin yang juga bekas pemain kebangsaan, berkata enam pemain berkenaan seharusnya memanfaatkan peluang beraksi di Australia memandangkan skuad Malaysian Tigers bakal menghadapi dua kejohanan besar selepas ini, iaitu Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di Oman, bulan depan selain Kejohanan Hoki Piala Dunia di India, November ini.

Muhammad Amin mengambil alih sementara tugas pengendali skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen, yang memohon dengan KHM untuk menyelesaikan masalah kesihatan salah seorang anggota keluarganya yang telah tertangguh sehingga tamat Sukan Asia 2018, baru-baru ini.

Dalam aksi di Australia nanti, Muhammad Amin akan dibantu oleh seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim serta Pengarah Teknikal KHM, Terry Walsh.

Enam pemain senior negara tidak menyertai skuad negara ke Australia kerana mengalami kecederaan selain diberikan rehat selepas beraksi dalam Sukan Asia.

Mereka adalah Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faizal Saari, Mohd Marhan Mohd Jalil, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor dan S. Kumar yang akan menyertai Van Huizen untuk menjalani sesi pemulihan fisioterapi di sini.

Dalam aksi di Australia nanti, Malaysia akan membuka kempen kejohanan menentang Australia pada 18 September, Jepun (19 September), sebelum melengkapkan aksi pusingan awal menentang juara Olimpik, Argentina pada 21 September.

Senarai 18 pemain:

Muhammad Hairi Abd Rahman, Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Razie Abd Rahim (kapten), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Azri Hassan, Faiz Helmi Jali, Muhammad Najib Abu Hassan, Meor Muhamad Azuan Hassan, Mohd Fitri Saari

Joel Samuel Van Huizen, Mohamad Ashran Hamsani, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Shahril Saabah, Muhammad Haziq Samsul, Norsyafiq Sumantri.

-- BERNAMA