Kehadiran pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat, bakal melonjakkan reputasi Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018 yang bermula bulan depan setaraf liga bertaraf tinggi seperti di India atau Eropah.

Kejayaan Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 secara merit menjadi tarikan utama.

Bukan saja Peillat, malah beberapa kelab seperti Universiti Kuala Lumpur, Kelab Hoki Kuala Lumpur dan Maybank berada pada fasa akhir untuk mengikat pemain import ternama.

Terengganu Hockey Team (THT) kini dalam fasa akhir mengikat Peillat dan tiga lagi pemain Argentina dalam misi membolot semua empat trofi LHM musim depan.

Apa yang pasti, kehadiran Peillat mendapat reaksi positif pemain negara.

"Peillat seorang pakar pukulan sudut penalti yang terbaik di dunia. Kehadirannya beraksi mampu meningkatkan mutu LHM," kata penjaga gol skuad negara, S. Kumar.

"Kehadirannya dalam LHM berada pada taraf yang berbeza selepas ramai pemain ternama mula berminat beraksi di sini," kata Firhaan Ashaari.

Sebanyak lapan kelab dijangka menyertai saingan Liga Perdana menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan, Jumaat ini.