Pertahanan import Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong Hyun, semakin hampir dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia selepas mencipta hatrik ketika menyingkirkan Maybank 8-4 dalam separuh akhir kedua Piala TNB, sekali gus mengumpul 14 gol.

Jong Hyun membuktikan dia merupakan mesin penjaring gol paling tajam musim ini.

Penjaga gol dan pelari pertama pasukan lawan berdepan masalah untuk menghalang pukulan sudut penaltinya, sekali gus menyaksikan dia muncul pendahulu penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia.

Bekas pertahanan kebangsaan Korea Selatan itu berharap dia dapat menambah beberapa gol lagi dalam aksi final esok, sekali gus mengesahkan reputasi sebagai penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia.

"Saya gembira dapat menjaringkan banyak gol untuk membantu pasukan ke final. Anugerah ini penting kerana saya tidak lagi mewakili pasukan kebangsaan.

"Apa yang lebih penting, saya berharap dapat membantu THT menjuarai Piala TNB," ujar Jong Hyun.

Pencabar terdekat Jong Hyun ialah rakan sepasukan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, dengan sembilan gol -- kurang lima gol berbanding dirinya.

Selain Jong Hyun dan Tengku Ahmad Tajuddin, jentera serangan THT juga cukup tajam dengan gandingan pemain seperti Faizal Saari dan Ismail Abu, yang dijangka akan melancarkan serangan bertali arus dalam final esok.