Pemain tengah hoki negara, Joel Samuel Van Huizen, dirisik ejen kelab Jerman, Berliner Hockey Club, namun terpaksa menolak sebarang tawaran kerana mahu memberikan tumpuan terhadap persiapan Sukan Asia, Piala Dunia dan Trofi Juara-Juara Asia 2018.

Joel memikat ejen yang sedang mencari pemain untuk beraksi dalam Liga Eropah bermula September depan.

Antara kelab yang berminat mencari pemain Malaysia ialah Berliner Hockey Club dalam Divisyen 1, Liga Jerman.

Dia memasang hasrat melebarkan sayap ke luar negara, namun impian itu terpaksa dipendam kerana terikat dengan jadual ketat bersama The Malaysian Hockey Tigers.

"Jika diberikan peluang, saya mahu beraksi di Eropah untuk mendapatkan pengalaman baru tetapi keutamaan saya adalah skuad kebangsaan," kata Joel.

"Ia merupakan satu tawaran yang baik buat pemain muda tetapi kami mahu memastikan pemain yang secukupnya untuk jadual pertandingan bersama skuad kebangsaan," kata ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen.

"2019 adalah tahun terbaik buat pemain-pemain negara meraih pengalaman beraksi di luar negara dan membawa pulang pengalaman baru yang mempertingkatkan mutu permainan skuad hoki negara," kata kapten pasukan, Sukri Mutalib.

Skuad negara akan berlepas ke Perth, Australia untuk lima aksi persahabatan menentang pasukan ranking pertama dunia itu.