Pemain tengah pasukan hoki Nur Insafi, Jiwa Mohan, gagal menghadirkan diri dalam sesi pendengaran Jawatankuasa Teknikal, Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap mengkritik dasar LHM.

Isu itu bakal diheret ke Lembaga Disiplin Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Sebelum ini, Jiwa meluahkan pandangan peribadi mengenai jumlah pasukan LHM yang dianggap terlalu kecil.

Pengarah Kejohanan LHM, Jusvir Singh, mengesahkan Jiwa gagal hadir ke sesi itu kerana tidak dimaklumkan pihak pengurusan Nur Insafi.

Kini, tiada lagi peluang untuk Jiwa mempertahankan diri dan bakal berhadapan dengan tindakan lebih berat apabila kes itu dibawa ke Lembaga Disiplin KHM, dua minggu dari sekarang.

"Selepas mengadakan perbincangan, hanya satu jalan penyelesaian terbaik daripada kami, iaitu dengan membawa kes ini kembali kepada KHM.

"Dia didapati melanggar kod tatalaku dan bukannya melanggar kod disiplin.

"Sesi ini tidak akan diulangi dan dia kini perlu merujuk kepada KHM," kata Jusvir.