Pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menggesa anak buahnya untuk memanfaatkan sembilan aksi dalam siri jelajah Eropah sebagai persiapan lengkap untuk menghadapi pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia penting buat skuad The Malaysian Hockey Tigers sebagai pendedahan terbaik apabila bakal berhadapan dengan pasukan yang mempunyai ranking dunia lebih tinggi.

Skuad negara akan menentang Jerman di Krefeld, Khamis ini, sebelum ke Terassa bertemu Sepanyol, empat hari kemudian.

Selain itu, skuad negara akan tampil dalam kejohanan empat penjuru yang membabitkan England, Ireland dan Sepanyol, disusuli aksi persahabatan bertemu Belanda di Breda sebelum melengkapkan jelajah Eropah menentang juara Piala Dunia 2018, Belgium.

"Kami sudah menjalani persiapan selama enam minggu dan kami menunjukkan peningkatan yang pesat.

"Tetapi apa yang penting, pemain dapat menterjemahkan situasi latihan dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.

"Itulah yang saya harapkan daripada pemain," ujar jurulatih kelahiran Belanda itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pemain tengah negara, Shahril Saabah, pula enggan mensia-siakan peluang demi membuktikan kecemerlangannya setelah terlepas beberapa kejohanan penting ekoran kecederaan hamstring.

"Saya kembali pulih dan juga telah menguatkan (otot) kaki.

"Saya berazam memberikan aksi terbaik kerana jurulatih menuntut kekuatan mental dan fizikal setelah saya pulih daripada kecederaan," ujarnya.