Izzad-Arul kembali jalin kerjasama di UniKL

Oleh Staff Writer 14 Januari 2019 516
Izzad-Arul kembali jalin kerjasama di UniKL
"Sentuhan peribadi" yang dimiliki pengendali UniKL, Arul Selvaraj, membuatkan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Izzad Hakimi Jamaluddin, lembut hati untuk kembali menyarung jersi pasukan itu selepas lapan tahun.

Izzad diserap menjadi sebahagian tonggak UniKL menggantikan Shazrul Imran Nazli yang ditimpa kecederaan ketika saingan Piala Tan Sri P. Alagendra tempoh hari.

Dia sebelum itu pernah mencipta kontroversi dengan menarik diri secara tiba-tiba daripada kem kebangsaan untuk berehat pada penghujung tahun lalu dan hanya beraksi seketika bersama Perak dalam kempen Piala Razak.

Namun, atas dasar keakraban bersama Arul yang pernah membimbingnya dalam skuad kebangsaan dari tahun 2012 sehingga 2014, Izzad tergerak hati untuk beraksi semula secara serius.

"Pada mulanya, saya berniat untuk berehat untuk musim ini tetapi salah seorang pemain UniKL mengalami kecederaan dan ia membuka peluang untuk saya kembali bergandingan bersama Arul," kata Izzad.

"Dia menghubungi saya dan meluahkan keinginan untuk beraksi bersama UniKL, ia merupakan perbincangan yang mudah dan kami menerima kehadiran Izzad," kata Arul pula.

Perlawanan menentang UiTM di Stadium Tun Razak semalam merupakan kemunculan pertamanya dalam saingan liga musim ini yang menyaksikan UniKL menang 2-1.

"UniKL dibarisi beberapa pemain dari Kelab Hoki Kuala Lumpur dan buat masa ini, saya perlu meningkatkan lagi rentak permainan," kata Izzad lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen