Jawatankuasa Teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM) bakal merujukkan isu kritikan pedas pengendali UniKL, Arul Selvaraj, kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi memutuskan tindakan tatatertib yang akan dikenakan.

Arul sebelum ini mengkritik penganjuran LHM yang disifatkannya terlalu suram musim ini.

Selepas mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa itu di pejabat KHM petang tadi, Arul mengesahkan kontroversi yang dicetuskannya itu akan dirujuk kepada KHM.

"Selepas bermesyuarat, saya dimaklumkan bahawa isu itu akan dirujuk kepada setiausaha agung KHM.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku memandangkan bola sudah berada di atas padang mereka dan mereka perlu duduk untuk menilai dan membuat keputusan," katanya.

Bagaimanapun, Arul menegaskan dia tidak pernah menyesal terhadap tindakannya itu.

"Pandangan itu merupakan pandangan daripada bekas pemain dan jurulatih pasukan kebangsaan atau setidak-tidaknya pandangan daripada ahli sukan.

"Mungkin pandangan itu dikeluarkan pada masa yang tidak sesuai dan saya mungkin perlu menyimpannya sehingga tamat saingan liga.

"Mungkin juga mereka boleh mengeluarkan panduan untuk setiap pihak mengeluarkan kenyataan dan pandangan bagi meningkatkan kembali tahap hoki negara.

"Kenyataan itu dikeluarkan berdasarkan minat mendalam saya terhadap sukan ini," katanya.