Hasrat penjaga gol skuad hoki lelaki negara, S. Kumar, untuk mengejar satu-satunya impian yang belum kesampaian untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik kembali bernyala setelah dia bebas daripada hukuman susulan gagal ujian doping.

Kumar adalah antara sandaran utama skuad negara untuk misi memenangi pingat emas Sukan Asia pada Ogos ini bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun hasrat itu hampir terkubur selepas dia gagal melepasi ujian doping yang dilakukan pada Oktober tahun lalu.

Ketika kariernya tampak sudah berakhir, penjaga gol berusia 39 tahun itu ibarat mati hidup semula apabila disahkan bebas daripada sebarang isu doping membabitkan dirinya ketika ini.

"Sasaran pertama saya sudah diraih, iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini, saya mengejar Olimpik, kalau boleh saya mahu memenangi emas dalam Sukan Asia 2018. Ia sangat penting kerana ia adalah percubaan kali kelima dan sudah tentu saya mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020.

"Dalam masa sama, saya mahu menaikkan ranking Malaysia. Sebelum bersara, saya mahu merasai pentas Piala Dunia dan Olimpik sambil meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dunia," katanya.

Bagaimanapun, Kumar tetap perlu bersaing merebut tempat ke skuad Sukan Asia walaupun memiliki reputasi hebat mewakili Malaysia sebanyak 295 kali di pentas antarabangsa sejak 1999.

"Kini, dia telah kembali menyertai kem latihan, mendapatkan semula kecergasan dan prestasi terbaik. Kumar akan menerima peluang yang sama seperti penjaga gol lain.

"Kehadiran semulanya tentu memberikan persaingan sihat kepada dua lagi penjaga gol negara dan kami akan memilih yang terbaik. Ini satu perebutan yang kami mahukan dalam pasukan," ujar ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen.