Iman Gobinathan Abdullah sedia kembali ke pangkuan skuad hoki wanita negara menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo bermula tahun depan selepas kontraknya bersama Persekutuan Hoki Bangladesh (BHF) tamat.

Gobi kembali ke tanah air selepas menghabiskan tempoh lima bulan mengendalikan skuad hoki Bangladesh.

Dalam tempoh itu, dia melakar dua kejayaan besar apabila skuad senior meraih tangga keenam Sukan Asia Indonesia selain layak ke Sukan Olimpik Remaja di Argentina, bermula Sabtu depan.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Ipoh, Perak itu terpaksa menamatkan kontrak lebih awal kerana komitmen kerja sebagai pegawai bank.

"Saya tiada masalah untuk menyahut tawaran daripada mana-mana pasukan yang memerlukan khidmat saya.

"Tetapi, saya tidak akan merayu kepada sesiapapun," katanya.

Selain Gobi, seorang lagi bekas pengendali negara, Lim Chiow Chuan, pula sudah menamatkan kontrak bersama skuad Indonesia.

Beliau kini sedang mengendalikan kursus kejurulatihan di Korea Selatan.

"Ketika ini, saya bekerja sebagai pegawai di sebuah firma perbankan dan berharap dapat melatih pasukan dalam kancah Liga Hoki Malaysia (LHM).

"Sebab itulah saya terpaksa melepaskan jawatan di Bangladesh kerana masalah pelepasan cuti oleh majikan," katanya lagi.