Malaysian Tigress terus garang membelasah lawan dengan mencatat kemenangan kedua dalam Kejohanan Hoki Siri Terbuka di Singapura dan kali ini mengaibkan Hong Kong 10-0, hari ini.

Turun dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan besar 18-0 ke atas Indonesia semalam, skuad hoki wanita negara meneruskan momentum kemenangan.

Bermula dengan jaringan pembukaan Fatin Sukri pada minit ketujuh suku pertama, skuad negara terus menggandakan jaringan pada minit ke-17 melalui Nuramirah Zulkifli sebelum menambah gol lagi melalui Nuraini Rashid.

Fazilla Sylvester Silin menyempurnakan sudut penalti untuk gol keempat menuju masa rehat.

Bersambung babak kedua, anak buah Dhaarma Raj Abdulllah itu tidak menunjukkan belas kasihan kepada lawan apabila menyumbat enam gol lagi.

Ia bermula dengan Hanis Nadiah Onn menerusi gol padang pada minit ke-32 untuk gol kelima, sebelum dalam tempoh enam minit , Malaysia meledakkan tiga gol lagi, masing-masing menerusi Nuraslinda Said, Nuramirah dan Nuraini untuk melebarkan penguasaan kepada 8-0.

Malah, Malaysia belum berpuas hati dengan jaringan itu, sebaliknya menambah dua gol lagi melalui pukulan sudut penalti yang kedua-duanya disempurnakan Siti Noor Amarina Ruhani.