Tugas semakin sukar untuk skuad hoki wanita negara dalam misi menjuarai Piala Asia di Kakamigahara, Gifu, Jepun, bulan depan apabila kehilangan beberapa pemain tonggak.

Terbaru, pemain tengah, Noor Hasliza Md Ali, disahkan mengandung.

Ia satu tamparan buat skuad hoki wanita negara yang sebelum ini turut kehilangan khidmat perancang utama, Fazila Sylvester Silin ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jika Hasliza tidak dapat menyertai kempen di Jepun, pastinya ia akan menyukarkan lagi misi untuk muncul juara kerana ia satu-satunya peluang layak ke Piala Dunia, tahun depan.

Ia antara masalah yang perlu diselesaikan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, apabila suad negara dikumpulkan, Khamis ini.

"Kedua-dua pemain ini memainkan peranan besar dalam pasukan dan saya rasa kehilangan mereka ini umpama patah kaki.

"Sukar untuk kami mendapatkan keputusan yang bagus apabila dua pemian utama kita tidak beraksi," ujar Dhaarma.

Skuad wanita kerap dibelenggu masalah kehilangan pemain.

Jun lalu, pemain pertahanan, Siti Shahida Saad dan bekas kapten, Nadia Abd Rahman, tidak dapat menyertai separuh akhir Liga Dunia di Belgium ekoran masalah peribadi.

Ia menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran di tangga ke-10, sekaligus perlu muncul juara Piala Asia untuk layak ke Piala Dunia.