Pahang menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir selepas menewaskan skuad kebangsaan Indonesia 4-0 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Pahang mudah mengatasi Indonesia apabila Wan Nor Faezah Saiuti membuka tirai jaringan pada minit keenam, sebelum Siti Nor Amarina Ruhani menambah gol kedua dalam suku kedua menerusi pukulan sudut penalti.

Tatkala Indonesia bergelut dalam mencari gol pertama mereka, skuad kendalian Mohd Asyraf Benedict Abdullah itu meledak dua lagi gol masing-masing menerusi Siti Zulaikha Hussin dan Thiba Tharshini.

Walaupun sudah memastikan laluan ke separuh akhir, Asyraf enggan momentum anak buahnya terhenti selagi belum tamat perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Perak, hari ini.

Misinya adalah untuk memastikan Pahang mengekalkan rekod bersih tanpa kalah pada peringkat kumpulan, sebelum bersedia untuk aksi lebih sukar dalam separuh akhir.

"Sasaran kami adalah mahu menang semua perlawanan. Hari ini (semalam) kami layak untuk mara. Yang penting prestasi pemain, kerana prestasi mereka merosot akibat penat selepas mengharungi tiga perlawanan berturut-turut," katanya.

Jurulatih Indonesia, Yanuar Pribadi, seperti sudah menjangkakan keputusan itu dan kini mahu pasukannya menamatkan dua perlawanan terakhir berdepan Terengganu dan Kuala Lumpur dengan keputusan positif.

"Pemain menunjukkan prestasi yang baik. Kami bermain baik berbanding perlawanan pertama menentang Perak.

"Kami juga mempunyai beberapa peluang ketika melakukan serangan tetapi mungkin penyudahnya kurang bagus," katanya.