Skuad hoki wanita negara yang diketuai oleh ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, berlepas ke Kakamigahara, Jepun, hari ini dengan semangat tinggi bagi menghadapi aksi Piala Asia 2017.

Kejohanan yang bermula Sabtu ini itu menjadi sasaran utama skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu kerana tiket ke Piala Dunia 2018 terjamin seandainya berjaya muncul juara.

Biarpun berdepan cabaran getir diundi dalam Kumpulan A bersama China, India dan Singapura, kejayaan skuad lelaki di Dhaka, Bangladesh, semalam menjadi pemangkin buat skuad wanita untuk meneruskan kecemerlangan itu.

“Saya dan seluruh pasukan akan cuba mempamerkan aksi terbaik dan kami akan meletakkan fokus dalam perlawanan demi perlawanan,” kata Noor Amarina.

“Bagi saya, tiada apa yang mustahil. Hanya pergi ke sana dan berusaha untuk tampil memberikan yang terbaik,” tambah pemain skuad hoki wanita negara, Siti Rahmah Othman.

Dalam masa sama, Dhaarma lebih bersikap realistik apabila menetapkan sasaran ke separuh akhir walaupun sedar ia tidak mampu membawa skuad negara ke pentas Piala Dunia.

“Pasukan harus memikirkan bagaimana untuk muncul sebagai juara walaupun kita tahu, skuad wanita belum pernah sampai ke tahap itu,” ujarnya.