Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, dijangka kembali menyarung jersi skuad kebangsaan selepas tamat penggantungan kes doping sejak Disember tahun lalu menjelang pengumuman barisan pemain yang akan menyertai program latihan di Argentina, esok.

Kumar membuktikan dia masih lagi relevan untuk skuad hoki negara. Penjaga gol berusia 39 tahun itu menamatkan penggantungan kes doping bulan lalu selepas dikesan positif sibutramine.

Sejak itu, dia menyertai sesi latihan penuh The Malaysian Hockey Tigers dalam misi merampas semula posisi benteng terakhir negara.

"Siri jelajah ini penting untuk saya memandangkan sebelum ini saya tidak dapat mengikuti perlawanan antarabangsa selama empat bulan.

"Setiap perlawanan di sana nanti, saya perlu segera mengembalikan rentak sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Asia," katanya.

Penjaga gol negara itu mengakui persaingan merebut posisi utama makin sukar. Malah, mereka sudah membayangkan apa yang lebih relevan ialah perebutan slot penjaga gol simpanan.

"Kumar menunjukkan prestasi yang sangat baik. Ini merupakan peluang untuknya mendapatkan rentak permainan," kata rakan seperjuangan, Hairi Abd Rahman.

Seorang lagi calon di depan gawang, Mohd Hafizuddin Othman, turut menyuarakan pandangan mengenai perebutan tempat dalam siri jelajah Argentina itu nanti.

"Keempat-empat penjaga gol negara sedang bersaing sengit untuk merebut tempat memandangkan hanya dua penjaga gol yang akan dibawa ke Argentina nanti," katanya.

Skuad negara dijadual berlepas ke Argentina pada Ahad ini untuk mengadakan enam aksi persahabatan menentang juara Sukan Olimpik Rio itu.