Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terpaksa melupakan khidmat empat pemain import yang diketuai penjaga gol, David Harte, jika mereka layak ke final Piala TNB kerana terikat dengan peraturan Persekutuan Hoki Eropah.

Harte, pemain tengah, Robert Kemperman dan Valentine Verga, serta penyerang, Martijn Havenga, tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana liga selepas 1 Mac.

"Kami juga rasa terkilan kerana terpaksa mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Namun, kami sedar mengenainya. Kami tetap akan memberi sokongan kepada pasukan dan diharapkan UniKL mara ke final," kata Harte.

"Kami masih mempunyai pasukan yang bagus untuk beraksi di pentas final. Apa yang penting, teruskan kemaraan. Semua perlu fokus dan perlawanan akan dimenangi," tambah Verga.

Ia disebabkan mereka mempunyai komitmen dengan Kejohanan Kelab Eropah yang bermula 10 Mac ini, sekali gus tidak dapat mewakili UniKL jika layak ke final.

Jika mara ke final, juara liga itu masih memiliki dua lagi pemain import, iaitu Tim Deavin dan Kieran Govers.

UniKL selaku juara bertahan Piala TNB akan menentang Maybank bagi aksi separuh akhir pertama Selasa depan.

"Kami akan kaji semula dua perlawanan ketika berdepan Maybank sebelum ini. Kami hanya bekerja keras untuk memperbaiki pasukan," kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.