UiTM-KPT dan Politeknik-KPT bakal membuat perhitungan terakhir bagi merebut Piala Presiden 2018 selepas kedua-dua pasukan cemerlang menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

UiTM-KPT melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 3-2 sementara Politeknik-KPT beraksi di pentas final selepas mengecewakan Kedah Hockey Team-NI 3-1.

Terdahulu, UiTM-KPT dan MBI turun untuk mendapatkan jaringan awal serta hajat menamatkan aksi separuh masa pertama dengan kedudukan selesa tidak berkesampaian apabila beberapa percubaan yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan gagal untuk mencari penyudahan terbaik.

Aksi pada suku ketiga menyaksikan UiTM-KPT akhirnya memecah kebuntuan jaringan selepas pukulan sudut penalti kedua yang dimiliki berjaya untuk diterjemahkan kepada jaringan oleh kapten pasukan, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar, pada minit ke-32.

Kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila kealpaan banteng pertahanan UiTM-KPT berjaya untuk digunakan sebaiknya oleh Muhamad Hafizal Halmi untuk MBI kembali mengikat kedudukan 1-1.

Pada minit ke-44, UiTM-KPT sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti dan kali ini Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful mencatat nama selaku penjaring, dan satu lagi pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada UiTM-KPT (m-56) dimanfaatkan oleh Muhammad Haikal Abd Mutalib untuk meletakkan UiTM-KPT di hadapan 3-1.

MBI bagaimanapun berjaya mengejar UiTM-KPT pada minit ke-60 menerusi hasil jaringan pukulan sudut penalti Danial Aizat Ahmad Zubir, namun usaha itu tidak cukup untuk menghalang UiTM-KPT daripada melangkah ke perlawanan akhir.

Dalam satu lagi aksi di antara Kedah Hockey Team-NI dan Politeknik-KPT menyaksikan Politeknik melangkah ke perlawanan akhir hasil tiga jaringan padang yang disumbangkan oleh pemain import mereka.

Kedah Hockey Team-NI terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi, begitupun Politeknik bangkit dengan dua jaringan pada minit ke-27 dan 29 menerusi pemain import, Choi Jin Young, untuk menamatkan aksi separuh masa pertama dengan Politeknik di hadapan 2-1.

Jaringan tunggal pada separuh masa kedua oleh Oh Seyong menerusi gerakan padang pada minit ke-46 memutlakkan kemenangan 3-1 Politeknik untuk melangkah ke perlawanan akhir, sekali gus bakal membuat perhitungan dengan UITM-KPT bagi merebut gelaran juara.

Keputusan penuh:

UITM-KPT 3 Majlis Bandaraya Ipoh 2
Kedah Hockey Team-NI 1 Politeknik-KPT 3

Piala Presiden
Perlawanan Akhir (24 Februari, Sabtu)

Penentuan 3/4
Majlis Bandaraya Ipoh lwn Kedah Hockey Team-NI, 4 petang

Akhir
UITM-KPT lwn Politeknik-KPT, 6 petang

**Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2.