Pemain negara, Nor Syafiq Sumantri, mempunyai misi peribadi yang perlu dilunaskan menjelang aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Dunia menentang Jerman, Ahad ini, kerana dia muncul satu-satunya nama daripada keluarga hoki yang berjaya menjejakkan kaki ke kejohanan berprestij itu.

Syafiq berasal daripada keluarga hoki memandangkan abangnya, Norhizzat Sumantri, dan kakak, Norazlin Sumantri, turut mewakili skuad kebangsaan.

Namun, hanya dia berjaya ke Piala Dunia, sekali gus berpeluang mencatat nama sebagai penjaring di pentas elit itu apabila bertemu Jerman, dua hari lagi.

"Ia bermula daripada abang saya. Dia yang mula bermain hoki sejak sekolah rendah, kemudian saya menyertainya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur menerima peluang ini. Banyak nasihat yang mereka berikan kepada saya bagi membetulkan kesilapan sebelum ini," kata Syafiq.

Sementara itu, jurulatih Jerman, Stefan Kermas, berkata pasukannya tidak akan memperlahankan rentak dalam aksi berdepan Malaysia bagi mengekalkan rekod kemenangan menuju ke peringkat suku akhir.

Jerman kini menghuni tangga teratas Kumpulan D selepas menewaskan Pakistan dan Belanda.

Ia meletakkan bekas juara dunia dua kali itu sebagai pilihan untuk menewaskan Malaysia di Stadium Kalinga, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir.

Justeru, Kermas menegaskan mereka akan menghadapi Malaysia secara serius.

"Jika kami tidak menang ke atas Malaysia,ia bahaya. Kami cuba menjalankan tugas kami. Saya gembira jika dapat mendominasi aksi," ujar Kermas.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan lebih berpihak kepada Jerman dengan kemenangan dan satu seri.

Pertemuan terakhir menyaksikan Jerman menewaskan Malaysia 6-0 dalam separuh akhir Liga Dunia 2013.

Setakat ini, Jerman menjaringkan lima gol daripada dua perlawanan dengan pakar pukulan sudut penalti, Marco Miltkau, mencatat dua gol peribadi.

"Kami dibarisi ramai pemain berpengalaman dan berbincang mengenai perlawanan ini. Apa yang penting adalah mempamerkan aksi terbaik."