Pertahanan skuad hoki negara dijangka berdepan tugas sukar untuk menghalang jentera serangan Jerman yang diketuai Martin Haner, seorang doktor ortopedik, dalam aksi ketiga Kumpulan D, Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, Ahad ini.

Haner mengetuai kejayaan Jerman menewaskan Pakistan dan Belanda untuk menghuni takhta Kumpulan D.

Penyerang itu bijak mengawal rakan sepasukan dalam situasi tertekan, terutama ketika mereka meledak lima gol, setakat ini.

Ternyata, tugas sebagai doktor ortopedik membantu Haner membuat keputusan tepat dalam situasi sukar.

"Kami banyak melakukan persiapan daripada aspek mental dan psikologi.

"Adakalanya kami gagal beraksi baik dan terpaksa bertahan untuk mengelak daripada dibolosi.

"Sebagai seorang doktor, saya juga berdepan tekanan ketika merawat pesakit kerana perlu membuat keputusan yang tepat.

"Bagaimanapun, saya masih baru bergelar doktor dan tidak boleh untuk mengatakan yang saya mempunyai pengalaman dalam merawat pesakit," katanya.

Haner memulakan tugas sebagai doktor ortopedik, April lalu.

Penyerang berusia 30 tahun itu bijak membahagikan masa untuk pelajaran dan hoki sehingga membantu Jerman meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik London 2012 dan pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, dua tahun lalu.