Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, menggesa rakan sepasukan untuk mengeluarkan segala yang mereka miliki ketika menentang Jerman dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, Ahad ini.

Jika tidak, Malaysia terpaksa meninggalkan kejohanan itu tanpa mencapai sasaran ke pusingan kedua.

Kemenangan atau keputusan seri menentang Jerman akan membantu skuad negara ke pusingan kedua sambil mengharapkan Pakistan tewas kepada Belanda.

Ia tugas sukar, namun tidak mustahil selepas beberapa kejutan dilakar pasukan bukan pilihan seperti Perancis dan China di Stadium Kalinga.

"Berdasarkan rekod di atas kertas, ia peluang tipis, namun saya masih menaruh kepercayaan terhadap kebolehan setiap pemain.

"Kami mungkin mampu untuk mendapatkan satu mata yang akan membantu kami untuk ke pusingan seterusnya," katanya.

Apa yang melegakan adalah pemain negara mempamerkan kebangkitan ketika mengikat Pakistan 1-1 selepas dibelasah Belanda 7-0 dalam aksi pembukaan.

Ia memudahkan percaturan pengendali negara, Roelant Oltmans, dalam mencari ramuan terbaik mengejutkan Jerman.

"Hoki tidak seperti bola sepak yang anda boleh bermain untuk keputusan seri.

"Keadaan bahaya sentiasa ada dan kami tidak sepatutnya bermain untuk keputusan seri.

"Kami perlu menggunakan pendekatan seimbang dengan kekentalan di barisan pertahanan dan mencuba untuk melancarkan serangan," katanya.