Pemain tengah skuad hoki Jerman, Tobias Hauke, mahu meraikan penampilannya yang ke-300 bersama pasukan dengan nota kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan D, Piala Dunia di Bhubaneswar, India, esok.

Hauke mencatat penampilan terbanyak dalam skuad Jerman.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu sudah mengecap pelbagai kejayaan bersama Jerman, termasuk pingat emas Sukan Olimpik London 2012, gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dan emas Trofi Juara-Juara, tahun lalu.

Dia turut memainkan peranan penting ketika pasukan ranking keenam dunia itu menewaskan Pakistan dan Belanda dalam dua aksi awal Kumpulan D.

Hauke turut beraksi ketika Jerman menewaskan Malaysia 6-0 dalam Kejohanan Separuh Akhir Liga Dunia 2013.

"Ia sudah pasti perlawanan yang istimewa.

"Namun, ia tidak penting kerana kami perlu berusaha keras dan bermain sebagai satu pasukan.

"Kami mahu mengekalkan prestasi terbaik ketika menentang Malaysia," katanya.