Penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Iman Gobinathan, melahirkan kekecewaan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas badan induk itu memberikan alasan tidak munasabah untuk tidak menyambung kontraknya yang bakal berakhir 31 Januari ini.

Keputusan itu dibuat menerusi satu mesyuarat ringkas yang diadakan pihak KHM yang diwakili Pengarah Teknikal, Terry Walsh, dan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Soon Mustafa Karim.

Jurulatih yang sering disapa Gobi itu dilantik pada 2016 dengan tugasan awalnya adalah tertumpu kepada skuad pembangunan wanita.

Tidak sampai setahun, dia kemudian diarah menggalas tugas membimbing skuad hoki wanita dalam dewan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Alasan tidak disambung kontrak yang diberikan KHM adalah kerana Gobi gagal menepati sasaran pingat emas buat skuad hoki wanita dalam dewan di samping tidak banyak bakat baru diketengahkan dalam skuad wanita kebangsaan.

"Saya kecewa kerana tidak diberi masa yang cukup untuk membuktikan bakat, malah saya ditukarkan ke skuad hoki wanita dalam dewan.

"Mungkin keputusan mengemudi skuad hoki dalam dewan bukan satu langkah yang bijak. Tetapi, sebelum itu saya telah memaklumkan bahawa sentuhan saya tidak berapa bagus untuk skuad hoki dalam dewan.

"Namun, pada masa itu, Pengarah Teknikal, Terry Walsh, memberitahu dia akan membantu saya," katanya.