Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berharap sukan hoki akan mendapat tempat dalam Program Podium selepas berjaya mencipta kejayaan layak ke Piala Dunia 2018 secara merit.

Skuad hoki lelaki negara mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan India 3-2 di peringkat suku akhir untuk melayakkan diri ke kelompok empat terakhir saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, sekaligus mengesahkan tempat dalam Piala Dunia tahun hadapan.

Sehubungan itu, wujud cadangan agar mereka diserapkan ke dalam salah satu pelan prestasi tinggi yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha merealisasikan impian Malaysia untuk meraih pingat emas pertama di temasya Olimpik Tokyo 2020.

“Saya telah meminta agar selepas Sukan SEA, satu lagi jawatankuasa penilaian diwujudkan untuk Program Podium dan pasukan hoki lelaki akan dipertimbangkan,” kata Khairy.

Setakat ini, seramai 33 atlit daripada 14 jenis sukan telah diletakkan di dalam senarai Program Podium.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut menyatakan sokongan buat skuad hoki negara dan menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan sekiranya diperlukan.

"Aksi mereka menundukkan India semalam sememangnya sesuatu yang wajar dibanggakan dan InsyaAllah pada tahun depan kami akan turun membantu mereka," ujarnya.