Penyerang Maybank, Haziq Shamsul, menyasarkan untuk menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini dalam usaha untuk merebut semula tempat dalam skuad kebangsaan.

Semalam, Haziq meneruskan sentuhan berbisanya di depan gawang apabila meledakkan dua gol untuk membantu Maybank menewaskan TNB Thunderbolts 3-2.

Dua jaringan itu membolehkan penggempur itu kini meraih lapan gol dalam lima perlawanan dan berkongsi kedudukan dengan penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari, dalam senarai penjaring terbanyak liga.

Penyerang berusia 26 tahun itu berharap dapat meraih kembali tempat dalam skuad negara selepas kerap disisihkan akibat kecederaan sebelum ini.

"Dalam setiap perlawanan, saya tidak meletakkan jaringan sebagai keutamaan, sebaliknya tiga mata untuk pasukan. Namun, untuk tahun ini, saya akan cuba dapatkan 15 gol. Kini sudah meraih lapan gol, saya harap kembali diserapkan dalam skuad kebangsaan," katanya.

Maybank, yang tidak dibantu oleh pemain import, kini menduduki tangga ketiga liga dengan 12 mata dan berharap dapat mencipta kejutan untuk terus memberi tekanan buat pendahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Untuk tempoh dua tahun, kami memang sepenuhnya menggunakan kudrat pemain tempatan. Saya fikir perkembangan pasukan kini mula menunjukkan hasil," kata ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam.



Editor: Nafis Abdullah