Skuad hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk muncul di pentas Sukan Olimpik buat kali pertama apabila peluang ke temasya 2020 di Tokyo tertutup setelah tewas 3-0 kepada Korea Selatan dalam separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, semalam.

Kekalahan yang sudah diduga itu menyebabkan skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu gagal meraih dua slot untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo Oktober dan November depan.

Susulan kekalahan itu, skuad Malaysian Tigress akan bertemu Republik Czech dalam perlawanan penentuan tempat ketiga manakala tuan rumah Ireland akan menentang Korea Selatan di pentas final, esok.

Sebelum itu, Ireland mengalahkan Republik Czech 4-0 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Sementara itu, Korea Selatan, yang menduduki ranking ke-11 dunia, memulakan jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Cho Hyein, diikuti Kim Hyunji pada minit ke-17 sebelum Cheon Eunbi menutup tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-48.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan pada edisi 1980 di Moscow.

"Korea mempamerkan aksi yang mantap dan menggunakan pengalaman dengan sebaik mungkin untuk melakar kemenangan. Kami akur Korea lebih baik berbanding Malaysia dan kami berharap untuk meraih tempat ketiga sekali gus memperbaiki kedudukan ranking kami," kata Dhaarma.

-- BERNAMA