Pemain tengah skuad hoki wanita negara, Noor Hasliza Md Ali, menarik diri menjelang Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, November depan apabila tidak sedar sudah hamil ketika membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu.

Kandungan Hasliza kini sudah memasuki tujuh minggu dan dia dinasihatkan berehat dan melupakan cabaran di Kakamigahara walaupun Malaysia perlu muncul juara untuk melayakkan ke Piala Dunia, tahun depan.

Pemain kelahiran Pahang itu sudah menemui jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, untuk menyatakan hasrat untuk menarik diri.

"Saya tidak mengetahui bahawa kandungan saya sudah sebulan dan seminggu selepas tamat Sukan SEA. Doktor telah mengesahkan bahawa saya sudah mengandung," kata Hasliza.

Walaupun hamil, namun Hasliza antara tonggak utama ketika Malaysia mempertahankan emas Sukan SEA dengan menewaskan Thailand 2-0 dalam final.

Sementara itu, Dhaarma mendapat berita gembira di sebalik kehilangan khidmat Hasliza.

"Selepas Hasliza mengesahkan kepada kami bahawa dia terpaksa menarik diri, kami menerima khabar gembira apabila Siti Shahida Saad kini dapat kembali bersama pasukan bagi menghadapi Piala Asia," kata Dhaarma.

Kejohanan Hoki Wanita Piala Asia 2017 akan berlangsung di Kakamigahara, Jepun dari 28 Oktober hingga 5 November.

Skuad hoki wanita negara diundi dalam Kumpulan A bersama China, India dan Singapura.