Jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, mengesahkan Noor Hasliza Ali kembali memperkuat pasukannya bersama pemain muda, Putri Nur Batrisyia Nawawi, bagi menggantikan dua pemain yang bersara menjelang pusingan pertama Siri Hoki Dunia di Singapura, bulan depan.

Pemain pertahanan, Siti Rahmah Othman, mengambil keputusan untuk bersara selepas 15 tahun menyarung jersi negara kerana faktor usia.

Malah, The Malaysian Tigress juga kehilangan pemain tengah, Nor Baini Hashim, yang dikatakan turut meninggalkan kariernya selepas mendapat tawaran kerja.

Sememangnya ketiadaan dua pemain berpengalaman itu akan dirasai skuad negara, namun Dhaarma sudah mempunyai pengganti untuk membawa cabaran Malaysia dalam siri dunia di Singapura.

"Kami tahu bahawa dua pemain yang tidak menyertai saingan Trofi Juara-Juara Asia telah bersara. Apabila kami mula berlatih di sini, kami akan memanggil semula Noor Hasliza serta Nur Batrisyia. Mereka akan menyertai kami semula dalam masa seminggu atau dua minggu lagi," katanya.

Hasliza dan Putri bagaimanapun belum melapor diri pada hari pertama latihan skuad negara di Bukit Jalil semalam, namun kedua-duanya disahkan akan bersama pasukan minggu ini.

Sementara itu, Dhaarma ketika diminta mengulas mengenai peluang skuad negara untuk muncul juara dalam kejohanan yang turut menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, ini reaksi beliau:

"Malaysia sememangnya pasukan pilihan dalam kejohanan di Singapura tetapi kami harus menghormati semua pasukan seperti dalam pertandingan sebelum ini."