Hairul Nizam tekad buktikan kemampuan

Oleh Azizan Hashim 16 Ogos 2019 934
Hairul Nizam tekad buktikan kemampuan
Hairul Nizam Abd Rani bertekad membuktikan kemampuannya biarpun baru pertama kali diberikan kepercayaan sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki B-16 Perak ke Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung di Kuantan mulai hari ini.

Bekas pemain kebangsaan itu mengakui tugas berat dipikulnya kerana mengendalikan pasukan yang muncul juara untuk dua tahun berturut-turut.

"Bukan mudah untuk mempertahankan gelaran kerana semua pencabar mahu menumpaskan pasukan juara," katanya.

"Namun, saya bersedia menyahut cabaran yang dilontarkan kepada saya ini dan berharap dapat membalas kepercayaan Persatuan Hoki Perak dengan pencapaian baik.

"Sebelum ini, saya hanya menjadi penolong jurulatih tetapi kali ini sebagai ketua jurulatih. Memang berat tetapi saya akan cuba," tambah bekas pemain tengah  itu.

Ujian pertama Hairul Nizam ialah perlawanan Perak dengan Kelantan petang ini.

"Saya berharap kami mampu membuat permulaan baik dalam perlawanan sulung ini," katanya.

Selaku juara, Perak diundi dalam Kumpulan A bersama Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan Kelantan.
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen