Penjaga gol skuad hoki negara, Mohd Hairi Abd Rahman, yakin sempat menyertai saingan playoff kelayakan Sukan Olimpik 2020 November depan walaupun terpaksa berehat sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menjalani pembedahan lutut.

Selepas penjaga gol utama Malaysia, S. Kumar, mula menjalani latihan ringan bersama pasukan kendalian Roelant Oltmans itu, masa depan Hairi tampak masih samar tatkala dia memerlukan masa untuk pulih.

Dia sedar perlu melalui proses pemulihan yang sempurna bagi memastikan dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik, namun tidak mahu mengibarkan bendera putih.

"Saya sangat yakin dapat kembali menyertai skuad negara sebelum saingan playoff tetapi buat masa ini, saya menjalani sesi pemulihan dahulu.

"Kami tahu kecederaan di bahagian lutut memerlukan pemulihan dengan terperinci dan betul bagi mengelakkan ia berulang. Saya telah mengharungi pelbagai kesusahan untuk menyertai skuad Malaysia, jadi belum sampai masa untuk saya mengundur diri," katanya.

Dalam masa sama, Hairi melahirkan rasa lega melihat perkembangan posisi penjaga gol dalam kem kebangsaan tatkala ramai pemain muda bersaing merebut tempat.

"Kualiti penjaga gol yang ada ketika ini semuanya cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatkan tempat. Saya rasa ia satu petanda yang baik buat negara di mana setiap pemain cuba mendapatkan tempat."