Hairi, Hafizuddin jadi sandaran baru skuad hoki negara

Oleh Staff Writer 5 Mac 2018 1200
Hairi, Hafizuddin jadi sandaran baru skuad hoki negara
Di sebalik kekalahan 1-3 Malaysia kepada pasukan nombor satu dunia, Australia, dalam perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah, terbit sinar positif apabila dua penjaga gol hoki negara, Hairi Abdul Rahman dan Mohd Hafizuddin Othman, menampilkan aksi bertenaga untuk mengelak Malaysia diaibkan dengan lebih buruk di laman sendiri.

Meskipun ketiadaan penjaga gol berpengalaman, S. Kumar, yang masih digantung di atas isu doping, Malaysia masih boleh menyandarkan harapan kepada dua pemain berkenaan.

Ketika perlawanan menentang Australia di Ipoh, semalam, penggendali pasukan negara, Stephen Van Huizen, memberikan peluang sama rata buat kedua penjaga gol itu, dengan menyaksikan Hafizuddin beraksi dalam suku pertama dan ketiga manakala Hairi bermain dalam suku kedua dan keempat.

Daripada 15 percubaan tepat yang dihasilkan sepanjang perlawanan, Malaysia hanya bolos tiga gol selain berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada pukulan sudut penalti.

"Sebelum bermula perlawanan lagi, dia (Stephen) sudah kata kami akan bermain bergilir-gilir supaya mendapat pengalaman daripada satu perlawanan ke satu perlawanan," kata Hairi.

Hafizuddin pula berkata: "Saya rasa perlawanan menentang Ireland (kelmarin) memberi keyakinan untuk bermain hari ini (semalam). Gol yang saya lepaskan, saya akan kaji semula dan akan buat yang terbaik untuk perlawanan seterusnya."

Sistem pengiliran ini akan kekal digunakan Van Huizen sepanjang kejohanan itu sebagai pendedahan buat mereka bagi menghadapi beberapa tugasan yang lebih mencabar, antaranya Sukan Komanwel Gold Coast, Sukan Asia dan Piala Dunia.

"Inilah peluang untuk mereka tonjolkan diri. Inilah masanya untuk digunakan mereka ketika kami ketiadaan Kumar," kata Van Huizen lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen